MB: Sambung legasi pastikan Selangor terus gah

SHAH ALAM, 1 JAN: Selangor bertekad untuk terus maju tahun ini dengan menyambung legasi dan menyempurnakan kecemerlangan pentadbiran terdahulu, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya dengan tema Selangor Negeri Unggul, Kehidupan Bermartabat, beberapa strategi digariskan dalam Belanjawan Selangor 2020 yang menyaksikan penjajaran dan pemerkasaan inisiatif lama.

“Bahtera Selangor akan berlayar bagi mendepani tahun 2020 dengan penyempurnaan beberapa langkah yang dimulakan nakhoda terdahulu.

“Inisiatif lama dijajar malah diperkasa seperti Skim Peduli Sihat, Skim Air Darul Ehsan juga Skim Mesra Usia Emas.

“Beberapa program inovatif turut diperkenal seperti biasiswa Selangor BITARA, Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) dan banyak lagi, semua dalam rangka untuk memberikan yang terbaik buat rakyat,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2020.

Amirudin berkata usaha itu bagi memastikan ekonomi negeri dan Malaysia terus mampan, selari dengan hasrat digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Katanya langkah Dasar Kelulusan 100 Hari, yang diamal Kerajaan Negeri akan menyaksikan Selangor kekal sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia.

“(Justeru) Marilah kita memandang kehadapan, melangkah bagaikan “bunyanum marsus”; “barisan yang teratur rapi, seolah-olah bangunan yang tersusun kukuh” bagi mencapai “iltizam menjadikan Malaysia sebuah negara terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan” seperti digariskan dalam WKB 2030.

“Itulah tekad, doa dan harapan kita untuk tahun hadapan, insyaAllah. Selamat tahun baru 2020!” kata Amirudin lagi.

The post MB: Sambung legasi pastikan Selangor terus gah appeared first on Selangorkini.