Sasar lebih ramai pengusaha makanan guna teknologi retort

SHAH ALAM, 10 DIS: Lebih ramai usahawan makanan dan minuman (F&B) di negeri ini disasar untuk mendapatkan geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) bagi penggunaan teknologi retort tahun depan, kata Rodziah Ismail.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi berkata teknologi pembungkusan makanan itu membenarkan pensterilan pelbagai makanan dan minuman dengan mengekalkan nutrisi, rasa serta kualiti produk.

Katanya selain mememiliki ketahanan sehingga 130 darjah celcius, pemprosesan aseptik itu mempunyai jangka hayat antara 18 hingga 24 bulan.

“Geran sebanyak RM30,000 sudah mula diberi kepada beberapa usahawan dalam sektor berkenaan bagi tujuan pembelian peralatan termasuk mesin retort di bawah DUMS tahun lalu.

“Malah, kita menyasarkan lebih ramai usahawan F&B untuk mendapatkan geran DUMS bagi menggunakan teknologi ini menjelang 2020 dan meluaskan lagi pasaran hingga menembusi pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Seminar Pembangunan Usahawan Makanan dan Minuman “Pembangunan Produk Melalui Teknologi Retort” di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Rodziah berkata seminar insiatif Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu akan menggalakkan lebih ramai usahawan menggunakan teknologi retort, sekali gus meningkatkan permintaan produk.

Justeru, katanya peluang itu perlu diguna sebaiknya oleh usahawan terutama di Selangor dalam menambah pendapatan dan menjadi pemangkin kepada usahawan lain.

“Konsep teknologi ini juga dilihat dapat dimanfaat usahawan dalam merealisasi tanggungjawab sosial korporat melalui pemberian bantuan atau sumbangan kepada yang memerlukan seperti mangsa banjir, kebakaran dan musibah lain,” katanya.

Teknologi retort yang diperkenal di Amerika Syarikat sejak 1950-an diguna dalam rantaian medan pertempuran sebelum dikormesial secara meluas oleh negara lain.

Selain menggantikan konsep tradisional yang rumit, teknologi itu memperkenalkan konsep pek mudah, bungkusan yang ringan serta mampu tahan lebih lama.

Antara pengusaha tempatan di Selangor yang terawal menggunakan teknologi berkenaan adalah Brahim’s Food di Bangi pada 1980-an.

The post Sasar lebih ramai pengusaha makanan guna teknologi retort appeared first on Selangorkini.