ADN puji Belanjawan #Selangor 2020, peduli rakyat

SHAH ALAM, 2 NOV : Rata-rata Ahli Dewan Negeri (ADN) memuji dan menyifatkan Belanjawan #Selangor 2020 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari semalam sebagai prihatin terhadap keperluan seluruh lapisan masyarakat.

ADN Ijok, Idris Ahmad berkata, beliau memuji tindakan Kerajaan Negeri yang prihatin dalam membantu rakyat terutama mereka yang terdiri daripada golongan B40.

“Setiap belanjawan sudah pasti mempunyai pro dan kontranya namun kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

“Tetapi apa yang boleh dikatakan Belanjawan 2020 ini membuktikan Kerajaan Negeri menonjolkan sikap peduli serta prihatin terhadap keperluan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Pembentangan Belanjawan #Selangor2020 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor, di sini, semalam.

Sementara itu, ADN Jeram, Shaid Rosli berkata, Belanjawan #Selangor 2020 lebih baik berbanding tahun lalu memandangkan nilai defisitnya berkurangan daripada segi urus tadbir yang membabitkan 10 peratus sahaja.

“Kebajikan rakyat lebih diutamakan malahan peruntukan juga agak seimbang untuk semua kaum dan golongan,” katanya.

Manakala, ADN Rawang, Chua Wei Kiat berkata, idea Dato’ Menteri Besar (Amirudin) yang banyak memberi fokus dalam membantu anak muda satu perkara yang tepat dan harus dipuji.

“Dato’ Menteri Besar pun muda idea beliau juga kreatif, saya berpuas hati dengan belanjawan yang dibentangkan terutama apabila ia banyak membabitkan pemberdayaan terhadap generasi muda.

“Malah, insiaitif beliau memperuntukkan RM50 juta untuk Selangor ke arah negeri pintar satu perkara yang bagus dan pelaburan itu sememangnya perlu bagi mencapai visi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ADN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata, beliau memuji pengumuman Belanjawan #Selangor 2020 dibentangkan semalam yang banyak menyentuh berkaitan kebajikan rakyat.

“Alhamdulillah peruntukan Kasih Ibu Smart Selangor juga ditambah dan ia sekali gus dapat menepis ura-ura yang mengatakan program itu dibatal,” katanya.

The post ADN puji Belanjawan #Selangor 2020, peduli rakyat appeared first on Selangorkini.